Rabu, 8 Februari 2012

Strategi bijak belajar


SANTAPAN MINDA OLEH DR. ISMAIL ZAIN
PROSES bijak belajar memerlukan perancangan yang komprehensif oleh guru dan penglibatan yang menyeluruh oleh murid. Sebagai seorang guru yang juga merupakan pereka bentuk pengajaran, anda harus berkemahiran untuk merancang aktiviti pembelajaran murid yang mampu memberi ruang dan peluang mencungkil kreativiti mereka.
Dalam persekitaran teknologi masa kini seseorang guru harus melengkapkan persekitaran bilik darjah dengan kemudahan mengakses maklumat sama ada dalam bentuk teks, grafik, audio, video atau animasi. Bahan seumpama itu boleh didapati dengan mudah dengan memuat turun dari pelbagai sumber maya yang sesuai digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.Kegunaannya bukan sekadar dijadikan bahan contoh atau sebagai set induksi sahaja tetapi dijadikan sumber kepada murid-murid meneroka, menganalisis dan menilai untuk mencari jawapan terhadap penyelesian masalah yang diberi oleh guru.Murid akan menjadi lebih bijak apabila minda mereka sentiasa terangsang untuk berfikir secara lebih luas dan mendalam berdasarkan pemerhatian serta penglibatan mereka.
Untuk itu guru harus menyediakan sesi perbincangan dan persembahan agar murid lebih terdedah dengan maklumat yang dicari sendiri tanpa terlalu banyak bergantung kepada buku teks dan pengajaran guru semata-mata.Latihan ini menggalakkan murid berdikari, mencari punca, sebab, akibat dan mampu membuat justifikasi terhadap apa sahaja isu yang ditimbulkan oleh guru atau rakan sebaya. Dalam proses membuat justifikasi inilah minda mereka terangsang dan proses berkenaan mampu menjadikan daya ingatan mereka sentiasa subur dan aktif.Bagi murid pula, mereka harus bertindakan balas tanpa mudah berputus asa. Hal ini bermaksud murid-murid bukan hanya menggunakan buku untuk mendapat fakta tetapi perlu berbincang dengan rakan-rakan. Perbincangan pula harus digandingkan dengan pembentukan kerangka catatan yang boleh membantu mengingati fakta yang dibincangkan tadi.
Hal ini bermakna proses mengingat sesuatu fakta bukan hanya menghafal sahaja tetapi melibatkan minda yang kreatif, strategi yang menyeronokkan dan penglibatan yang menyeluruh daripada rakan-rakan yang lain.Inilah sebenarnya tuntutan pembelajaran Abad ke-21 yang bertujuan melahirkan anak bangsa yang berpendidikan dan berbudaya fikir.
Dipetik dari portal pendidikan utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan