Khamis, 12 Ogos 2010

Perbincangan Meja Bulat Pertama Mansuhkan UPSR Dan PMR



PUTRAJAYA: Kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini. hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.


Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.Ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata."Langkah ini baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu," katanya.


Beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan. "Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya. "Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insan bertaraf dunia," katanya.


Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah Sarawak William Ghani Bina turut bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat tidak membebankan tugas guru."Kalau boleh, guru-guru sekarang digantikan dengan guru-guru terlatih. Tidak ada lagi guru sandaran atau guru sandaran tidak terlatih. "Langkah ini akan mengawal mutu pendidikan dengan lebih baik berikutan kapasiti sesebuah kelas akan menjadi kecil. Sekarang, kelas terlalu besar, dan tidak ada hubungan antara pelajar dan guru," katanya.


Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pelbagai pandangan diterima daripada perbincangan yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu. Walaubagaimanapun tiada keputusan dibuat pada mesyuarat itu kerana ia bertujuan mendapatkan pandangan untuk dianalisis."Kita menggunakan empat jenis input untuk mendapatkan pandangan iaitu melalui pengumpulan berita daripada media, pandangan orang ramai melalui e-mel dan surat.


"Selain itu, kita melakukan kajian di sekolah dengan mengedar soalan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan guru, dan input daripada dua perbincangan meja bulat ini," Laporan akhir akan siap pada akhir bulan Ogos ini selepas semua input diteliti sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.-Sumber Berita Media Tempatan

DIPETIK DARI BLOG CIKGUPJ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan