Khamis, 12 Ogos 2010

Apa itu Transformasi Kurikulum?




Transformasi Kurikulum Berasaskan Falsafah Pendidikan Negara
Kementerian Pelajaran telah memberi jaminan bahawa transformasi kurikulum bagi memantapkan sistem pendidikan negara adalah satu usaha yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Penambahbaikan yang dilakukan tidak lari daripada hasrat sistem pendidikan negara untuk menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis daripada sudut intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada tuhan.

Transformasi berkenaan membabitkan perubahan dalam bentuk, kandungan penjadualan waktu dan penekanan kepada pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan. Transformasi ini juga memberi penekanan yang lebih kepada pentaksiran berasaskan sekolah, meningkatkan penglibatan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah. Pada masa yang sama, melalui transformasi kurikulum ini juga penghayatan nilai seperti perpaduan, menyayangi alam sekitar dan semangat patriotisme dapat diperkukuhkan lagi.

Dengan cara itu, sifat dan peribadi kental di kalangan murid melalui isi kandungan dan cadangan pedagogi yang lebih efektif dapat diperkukuhkan. Bagi mencapai hasrat berkenaan, transformasi itu dilaksanakan dengan mengambil kira enam tunjang utama iaitu komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusian, fizikal dan estetika, literasi sains dan teknologi dan keterampilan diri bagi melahirkan insan holistik.

Transformasi pendidikan mempunyai matlamat untuk membentuk seseorang murid menjadi modal insan yang seimbang dari segenap segi. Justeru, transformasi kurikulum ini menyediakan ruang dan peluang bagi memenuhi keperluan murid untuk membangunkan modal insan yang berpengatahuan serta berfikiran kreatif, kritis dan berinovatif.

SAMA-SAMA RASA....



Prestasi Sekolah Meningkat,
Guru Turut Dapat Imbuhan Insentif Wang
.
Jika selama ini hanya pentadbir sekolah, iaitu pengetua dan guru besar diberi insentif, termasuk kenaikan pangkat kerana meningkatkan prestasi sekolah, mulai tahun depan guru turut diberi penghargaan yang sama. Pemberian insentif yang dilaksanakan melalui Pelan Menambahbaik Sekolah-Sekolah itu akan turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar.

Dalam satu sekolah, pemimpin itu adalah pengetua atau guru besar, tetapi bila sekolah itu meningkat, insentif bukan diberi oleh pengetua sahaja, tetapi guru pun dapat kerana peranan itu bukan dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah sahaja, tetapi semua guru bekerjasama dan jika pengetua dapat kredit, guru juga dapat insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan, termasuk kenaikan pangkat.

Insentif wang ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan kepemimpinan cemerlang seperti mampu meningkatkan prestasi, walaupun dengan peruntukan kecil diperoleh. Akhir kata, guru perlu memberi kerjasama membantu kementerian mencapai matlamat holistik yang digariskan dalam Bidang Keherhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan serta melahirkan insan kamil dan modal insan berkualiti. Sekian.

Sumber: KOMPAS KKGLMSM (Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia)

KELEBIHAN RAMADHAN




Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

DIPETIK DARI BLOG CERITA AKU DAN ALAM.

Perbincangan Meja Bulat Pertama Mansuhkan UPSR Dan PMR



PUTRAJAYA: Kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini. hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.


Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.Ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata."Langkah ini baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu," katanya.


Beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan. "Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya. "Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insan bertaraf dunia," katanya.


Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah Sarawak William Ghani Bina turut bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat tidak membebankan tugas guru."Kalau boleh, guru-guru sekarang digantikan dengan guru-guru terlatih. Tidak ada lagi guru sandaran atau guru sandaran tidak terlatih. "Langkah ini akan mengawal mutu pendidikan dengan lebih baik berikutan kapasiti sesebuah kelas akan menjadi kecil. Sekarang, kelas terlalu besar, dan tidak ada hubungan antara pelajar dan guru," katanya.


Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pelbagai pandangan diterima daripada perbincangan yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu. Walaubagaimanapun tiada keputusan dibuat pada mesyuarat itu kerana ia bertujuan mendapatkan pandangan untuk dianalisis."Kita menggunakan empat jenis input untuk mendapatkan pandangan iaitu melalui pengumpulan berita daripada media, pandangan orang ramai melalui e-mel dan surat.


"Selain itu, kita melakukan kajian di sekolah dengan mengedar soalan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan guru, dan input daripada dua perbincangan meja bulat ini," Laporan akhir akan siap pada akhir bulan Ogos ini selepas semua input diteliti sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.-Sumber Berita Media Tempatan

DIPETIK DARI BLOG CIKGUPJ.

Salam Ramadhan...




Assalamualaikum .w.b.t , Kami di MGC Kota Tinggi mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa.Semoga Ramadhan ini berjaya mendidik kita menjadi yang lebih baik berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, baik hubungan kita dengan Allah, manusia dan juga alam ini.Bulan Ramadhan merupakan bulan pendidikan untuk muslimin dan muslimat, di mana segala amalan dan perbuatan baik kita digandakan pahalanya. Bulan yang mendidik manusia erti kepatuhan kepada suruhan Allah Yang Maha Esa dan menjauhi segala laranganNYA.Perbanyakkan amalan yang baik....banyak2 bersedekah kerana ia akan membantu kita di Akhirat nanti.

Semoga kita semua akan dipertemukan dengan Malam Lailatul Qadar, InsyaAllah....

Semoga kita semua berjaya menempuh Sekolah Ramadhan ini dengan cemerlangnya....

Selamat berpuasa.